Khamis, 1 Ogos 2013

Kena Bedah Kena Buang Ovari...

tu jer... nanti ada masa Kak So update jalan cerita untuk dua hari ini huhuhu...

- - - - - - - - - - - - - - -- - - -  --  - -- -
ni masukkan dulu dokumen yer :






Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
“SAYA sangat bersyukur dikurniakan dua anak walaupun ada masalah fibroid yang teruk. Masalah saya hanya disedari ketika melahirkan anak pertama melalui pembedahan. Lima bulan selepas itu, saya dibedah sekali lagi untuk membuang fibroid.
“Ketika hamil anak kedua, doktor dapati fibroid saya semakin banyak dan sekali lagi saya bersalin secara pembedahan. Cukuplah, sudah ada sepasang cahaya mata. Tidak sanggup hendak dibedah lagi,” kata seorang ibu muda yang baru berusia 30 tahun.

Fibroid adalah masalah yang sangat biasa berlaku pada wanita. Ia adalah ketumbuhan benigna yang muncul dari dinding rahim.

Fibroid dikategorikan sebagai ketumbuhan paling biasa membabitkan saluran peranakan wanita, khususnya yang masih muda. Risiko fibroid bertukar menjadi kanser adalah sangat rendah iaitu 0.03 peratus.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Wong Pak Seng, bilangan fibroid biasanya lebih daripada satu dan sehingga kini punca sebenar bagaimana masalah ini boleh berlaku masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, fibroid adalah ketumbuhan yang bergantung kepada hormon (estrogen) dan ini sebabnya masalah biasanya menjadi lebih teruk apabila seseorang wanita hamil.

Ketika hamil, badan wanita mengalami perubahan dan pertambahan jumlah hormon estrogen — yang boleh merangsang pertumbuhan fibroid tetapi masalah ini tidak akan diwariskan kepada anak.

“Dianggarkan 20 peratus wanita di seluruh dunia mengalami masalah fibroid. Walaupun ia tidak berbahaya, dalam keadaan tertentu kehadiran fibroid boleh menyebabkan ketidakselesaan dan menjejaskan kesuburan seseorang,” katanya pada kongres kesihatan wanita ‘Sayangi Diri Sendiri’ anjuran Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM).

Katanya, ada beberapa faktor risiko yang boleh menyebabkan seseorang mendapat fibroid iaitu kegemukan, tidak pernah melahirkan anak, mendapat haid pertama sebelum berumur 10 tahun dan berketurunan Afrika. Bagaimanapun, ada juga wanita mempunyai anak yang mengalami masalah fibroid seperti disebut tadi.

Fibroid boleh dibahagikan kepada beberapa jenis berdasarkan lokasinya iaitu:


  • Submukus — Ia tumbuh betul-betul di bawah sel lapisan dalam rahim dan boleh menyebabkan masalah ketika haid, termasuk kesakitan apabila ia menjadi besar dan bergerak-gerak dalam ruang rahim
  • Intramural — Fibroid berbentuk bulat yang biasanya berada di dalam dinding rahim, dan boleh menyebabkan rahim mengembang apabila ia bertambah besar
  • Subserus — Fibroid jenis ini tumbuh di luar rahim dan biasanya tidak menimbulkan sebarang gejala hinggalah ia menjadi cukup besar untuk menjejaskan organ berhampiran
  • Bertangkai — Apabila fibroid subserus memanjang dan membentuk tangkai, ia dipanggil fibroid bertangkai. Apabila ia bertambah besar, fibroid jenis ini boleh berbelit dan menyebabkan sakit perut yang teruk
  • Antara ligamen — Fibroid jenis ini tumbuh di sisi ligamen yang menyokong rahim. Biasanya fibroid ini sukar dibuang tanpa mengganggu edaran darah atau organ lain
  • Parasitik — Apabila fibroid mula melekat pada organ lain tetapi jenis ini jarang berlaku

    Biasanya fibroid dikesan melalui kaedah ultrasound, imbasan CT atau pengimejan magnetik resonans (MRI). Antara tanda jelas ialah apabila ujian sinar-X boleh melihat rahim membesar tetapi bukan disebabkan kehamilan.

    Mengapa fibroid menyebabkan masalah?

    Biasanya fibriod tidak mendatangkan masalah walaupun saiznya besar, kecuali apabila:
  • Ia terletak dalam ruangan rahim — yang menyebabkan kesakitan atau pendarahan berlebihan ketika haid. Ini tanda atau masalah paling kerap dialami wanita
  • Ia membesar dengan cepat, terutama ketika hamil, menyebabkan perubahan yang memburukkan keadaan
  • Memberi kesan tekanan, contohnya jika ia menekan saluran kencing, wanita akan kerap buang air kecil walaupun minum sedikit. Jika ia menekan usus besar, ia akan menyebabkan sembelit
  • Mengubah bentuk atau mengherotkan bentuk rahim menyebabkan masalah kesuburan (sukar mengandung) kerana tiada tempat untuk embrio melekat pada dinding rahim. Bagaimanapun, jika fibroid terletak di luar rahim, wanita masih boleh hamil


    Rawatan

    Bergantung kepada beberapa faktor:
  • Gejala
  • Saiz dan lokasi fibroid
  • Umur (jika hampir umur menopaus, doktor biasanya hanya memantau perkembangan pesakit kerana fibroid yang bergantung kepada hormon estrogen akan mengecut sendiri selepas menopaus — iaitu apabila hormon ini berkurangan)
  • Sama ada pesakit mahu mendapatkan anak atau tidak. Jika mahu, perlu buat rawatan
  • Keadaan kesihatan keseluruhan pesakit, adakah dia cukup sihat untuk menjalani pembedahan
  • Tunggu dan lihat — Kebanyakan kes tidak perlukan rawatan, tetapi pesakit dikehendaki kerap berjumpa doktor untuk pemantauan

    a. Rawatan hormon GnRH antagonis — Kaedah ini boleh mengecutkan fibroid tetapi ada banyak kesan sampingan. Ia juga hanya bersifat sementara, jika rawatan dihentikan fibroid akan membesar kembali.

    b. Pembedahan — ada dua jenis iaitu pembedahan terbuka (kovensional) atau lubang kunci. Pembedahan terbuka membolehkan doktor membuang hampir semua fibroid, termasuk yang kecil, di semua lokasi. Bagaimanapun, ia akan meninggalkan parut luka yang besar dan mengambil masa lebih lama (mungkin sehingga dua bulan) untuk sembuh.

    Manakala pembedahan lubang kunci hanya membabitkan tiga luka kecil, tetapi kaedah ini terhad untuk fibroid kecil berukuran kurang enam sentimeter. Ada juga doktor yang boleh membuang fibroid besar sehingga 16 sentimeter menggunakan alat khas, tetapi kaedah ini tidak dapat membuang semua fibroid. Luka pembedahan lebih cepat sembuh (dua minggu), masih dapat mengekalkan kesuburan.

    Pembedahan pembuangan rahim ada dua kategori iaitu miotektomi dan histerektomi.

    Miomektomi ialah pembedahan pembuangan fibroid saja tanpa menjejaskan rahim. Kaedah ini membolehkan wanita berkenaan mendapat anak pada masa depan.

    Pembedahan kedua ialah histerektomi iaitu pembuangan keseluruhan rahim. Ia hanya akan dilakukan jika wanita tidak lagi mahu mengandung.

    “Kalau fibroid besar dan wanita tidak mahu anak, lebih baik buang rahim. Tiada risiko mendapat masalah fibroid lagi. Walaupun risiko untuk fibroid berulang itu ada, keperluan pembedahan fibroid bagi kali kedua biasanya sangat rendah,” katanya.

    c. Mengikat salur darah rahim — Ia bertujuan menyekat aliran darah ke rahim supaya fibroid tidak menerima oksigen dan akhirnya mengecutkan. Ia boleh merawat semua fibroid tetapi kaedah ini tidak sesuai untuk wanita yang mahu mengandung atau fibroid besar melebihi sembilan sentimeter.

    d. Ultrasound berpusat — Ia menggunakan gelombang daripada tenaga haba ultrasound untuk memusnahkan tisu fibroid. MRI digunakan untuk membantu doktor mencari lokasi tepat dan membekalkan suhu sesuai sepanjang rawatan.

    Menurut Dr Wong, ada beberapa kaedah umum untuk mencegah fibroid iaitu dengan mengekalkan berat badan ideal, mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam serta cuba dapatkan anak sebelum berumur 35 tahun. Artikel ini disiarkan pada : 2011/04/17
  • sumber : hmetro

    2 ulasan: